MENU

BERBICARA mengenai kemiskinan, ia cukup sinonim dengan daerah Baling, Kedah. Mungkin kerana kira-kira 42 tahun lalu, daerah itu dikejutkan dengan ‘berita’ satu keluarga yang kebuluran meninggal dunia selepas makan ubi gadung.

Walaupun ternyata berita itu tidak benar tetapi kesannya menyaksikan kira-kira 13,000 penduduk daerah itu berkumpul di pekan Baling bagi mengadakan demonstrasi membantah kejatuhan harga getah pada 1974. Sumber pendapatan utama penduduk ketika itu adalah tanaman getah.

Justeru, apabila harga getah jatuh ke paras yang terlalu rendah, majoriti penduduk yang bergantung hidup pada tanaman tersebut jatuh miskin sehingga terpaksa beralih kepada ubi gadung bagi menggantikan nasi.

Ternyata Demonstrasi Baling 1974 membuka mata banyak pihak dan kini, penduduk daerah itu tidak hanya bergantung pada satu sumber iaitu tanaman getah semata-mata. Sebaliknya, beberapa jenis tanaman dan perusahaan lain turut diperkenalkan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti kelapa sawit dan perusahaan madu kelulut.

Sekurang-kurangnya, penduduk tidak hanya bergantung pada satu sumber rezeki sahaja. Hakikatnya, banyak usaha boleh dilakukan sama ada dengan bantuan agensi kerajaan mahupun usaha sendiri. Apa yang penting adalah keinginan untuk bekerja keras, seterusnya menukar nasib keluarga.

Begitulah yang dilakukan oleh keluarga Hamid Abu Hassan, 62, yang muncul sebagai pengusaha madu kelulut yang berjaya di Kampung Lalang, Mukim Siong. Selain menjual buah pinang yang telah dikeringkan, Hamid yang dibantu anaknya, Mohd Sam menggunakan modal sendiri sebanyak kira-kira RM4,000 bagi memulakan perusahaan tersebut.

“Kami guna modal sendiri, tak minta bantuan daripada mana-mana pihak. Saya dan adik beradik berkongsi duit untuk mengumpul modal. Alhamdulillah, kini terdapat 40 sarang lebah kelulut yang aktif menghasilkan madu sejak kami memulakan perusahaan ini setahun yang lalu,” kata Mohd Sam.

Tinjauan S2 mendapati kesemua sarang itu diletakkan di halaman rumah keluarga Mohd Sam. Beberapa sarang dihuni lebah yang agresif dan berikutan itu, proses menuai madu dilakukan oleh seorang pekerja yang lengkap berpakaian khas.

“Ada yang agresif dan untuk keselamatan, kami pakai pakaian khas semasa menuai madu yang disedut dengan menggunakan mesin khas. Mesin khas ini dibeli pada harga RM300,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, pada awal permulaan perusahaan itu, beliau membeli sarang yang belum diproses pada harga antara RM400 hingga RM500 bagi satu sarang daripada penduduk kampung.

Katanya, sarang yang belum diproses itu adalah sarang asal lebah yang terdapat pada pokok.

“Pembekal sarang kelulut akan memotong dahan pokok yang mengandungi sarang lebah dan menunggu sehingga malam sebelum dibawa keluar ke kampung. Sarang itu perlu dibawa keluar pada waktu malam kerana ketika itu, serangga tersebut yang pada waktu siangnya keluar mencari madu sudah kembali ke sarang,” ujarnya.

Menurutnya, satu sarang boleh menghasilkan antara 300 hingga 400 gram madu setiap kali dituai. Dalam sebulan, kita boleh tuai beberapa kali,” katanya.

Menurutnya, beliau yang mempunyai pekerjaan tetap di Pulau Pinang kerap balik ke kampung bagi mengurus perusahaan tersebut bersama bapa dan adik beradiknya.

Mengenai pemasaran madu kelulut yang dijenamakan sebagai Madu D’rimba, Mohd Sam berkata, madu kelulut yang dihasilkannya itu dijual menerusi rakan-rakan dan Facebook.

“Saya jual dalam botol yang boleh mengisi madu seberat 200 gram. Harganya adalah RM50 sebotol. Mereka yang berminat boleh mendapatkan madu asli kelulut melalui Facebook di alamat MADU D’rimba,” katanya.

Selain itu, untuk tempahan madu asli kelulut dari Kampung Lalang, Baling ini, bolehlah menghubungi Mohd Sam di talian 013-5029116.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/rezeki-penduduk-semakin-bercambah-1.207457#sthash.9jB3dHSH.dpuf