MENU

BIASANYA gunung yang menjadi tumpuan pendaki terletak di hutan belantara, sehinggakan untuk sampai ke kaki gunung memerlukan kumpulan pendaki menyewa kenderaan pacuan empat roda. Ini kerana laluan masuk ke tempat mula mendaki adalah denai hutan atau laluan balak yang hanya boleh dimasuki jentera tersebut.

Ini berbeza dengan dua puncak gunung yang semakin dikenali ramai di daerah ini, Gunung Baling dan Gunung Pulai. Kedua-dua gunung itu terletak di pekan Baling dan pendaki boleh memandu kereta sehingga ke tempat mula mendaki.

Penghulu Mukim Pulai, Badrol Hisham Che Li berkata, sejak keindahan kedua-dua gunung itu menjadi viral dalam Facebook pada tahun lalu, jumlah mereka yang datang untuk mendaki gunung-gunung tersebut terutama Gunung Baling semakin ramai, sehinggakan dalam sehari pada hujung minggu, jumlah pendaki mencecah lebih 500 orang.

“Saya difahamkan ramai pendaki datang dari luar daerah Baling. Ada yang datang dari Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur. Malah saya turut diberitahu terdapat juga pendaki dari Singapura,” katanya kepada S2.

Gunung Baling memiliki ketinggian 420 meter, manakala Gunung Pulai (610 meter). Namun, pendaki lebih tertumpu pada Gunung Baling kerana trek mendaki yang lebih mudah berbanding dengan Gunung Pulai.

“Trek mendaki Gunung Pulai adalah 80 peratus batu. Ini bermakna pendaki perlu mendaki dinding batu di beberapa tempat. Tempoh mendaki juga lebih lama iaitu sekitar tiga jam, berbanding mendaki Gunung Baling yang memakan masa dua jam untuk sampai ke puncak,” tambahnya.

Memandangkan semakin ramai pendaki maka kejadian sesat dan tersasar dari laluan dilaporkan kerap berlaku kerana kebanyakannya mendaki tanpa dipandu oleh penunjuk arah.

Berikutan itu, selepas berbincang dengan orang kampung yang biasa mendaki gunung tersebut untuk mencari hasil hutan, pasukan Malim Gunung Baling dan Malim Gunung Pulai ditubuhkan pada Februari lalu.

Badrol Hisham berkata, kesemua penunjuk arah itu terdiri daripada orang kampung yang mahir dengan selok belok laluan ke puncak gunung-gunung berkenaan.

“Sebelum menjadi viral, kedua-dua gunung itu biasanya didaki oleh orang kampung yang mencari hasil hutan seperti pokok paku aji, rebung dan menjerat burung.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/jom-mendaki-gunung-