MENU

BALING bukan sahaja terkenal dengan pelbagai peristiwa bersejarah, malah daerah itu turut diwarnai dengan aneka produk pelancongan yang mampu melonjakkan nama Baling sebagai destinasi pelancongan utama tanah air. Apatah lagi, segala aset pelancongan yang ada akan ditonjolkan menerusi projek mega yang diketuai oleh Pegawai Daerahnya, Dzohir Md Zain.

Menurut Dzohir, selain memperkasakan produk pelancongan sedia ada seperti tempat berlangsungnya Rundingan Baling 1955 di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, pihaknya kini memberi tumpuan untuk memperkenalkan beberapa lokasi bersejarah lain seperti kubu komunis dan kubu Jepun yang menjadi sebahagian daripada sejarah daerah itu.

“Kubu-kubu ini telah lama ditemukan tetapi tidak dilakukan apa-apa pembangunan terhadapnya. Saya lihat kesemua produk itu ada potensi untuk menjadi tarikan pelancong.

“Jadi, sejak beberapa bulan lalu, saya telah mengarahkan beberapa pihak berkaitan supaya menaiktaraf kemudahan di tempat-tempat tersebut,” katanya kepada S2.

Menurutnya, kubu Jepun yang terletak di kaki Gunung Baling yang terbiar sejak sekian lama kini telahpun dipasang pintu jeriji yang baharu bagi menggantikan pintu lama yang telah hilang.

Katanya, kerja-kerja menolak tanah untuk membuat jalan masuk ke kubu itu juga sedang berjalan dan apabila siap kelak, ia akan menjadi akses utama untuk pelancong masuk ke kawasan kubu tersebut.

Tinjauan S2 di kawasan kubu itu mendapati sebuah jentolak digunakan untuk meratakan tanah di hadapan pintu masuk gua yang mana jalan itu bersambung dengan jalan berturap sedia ada di belakang Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Baling.

Penulis turut masuk ke dalam kubu itu yang gelap gelita. Berbekalkan lampu suluh, keluasan kubu itu tidaklah seberapa. Beberapa serpihan mangkuk atau pinggan seramik turut ditemui di bawah timbunan tanah merah yang baru ditolak oleh jentera berat terbabit.

“Selain kubu Jepun, pihak kami juga akan mempromosikan kubu komunis yang terdapat di Weng. Buat masa sekarang, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh sampai ke kubu tersebut. Untuk fasa kedua kelak, kita akan turap jalan hingga ke kawasan gua,” tambah Dzohir.

Selaku bekas pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di sebuah universiti awam, beliau amat meminati apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan ketenteraan.

Justeru, beliau bakal memperkenalkan konsep military tourism (pelancongan tentera) di daerah Baling, khususnya yang melibatkan kawasan penemuan kubu komunis di hutan berdekatan.

“Terowong Komunis Weng yang sedang dibangunkan sekarang akan memiliki sebuah kompleks pelancongan tentera yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kompleks penerangan, surau, pondok rehat, kedai makan, cenderahati dan tandas awam.

“Kompleks tersebut akan dirasmikan oleh tetamu kehormat dalam masa terdekat ini,” katanya yang bercadang untuk membawa rombongan media melihat sendiri kemudahan di kompleks berkenaan apabila siap sepenuhnya kelak.

Beliau berkata, bagi merealisasikan impian tersebut, pihaknya kini bekerjasama dengan Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan apabila siap kelak, ia akan dipromosikan menerusi program Discovery Kedah 2016.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/baling-promosi-pelancongan-tentera-1.207452#sthash.FizhbbZB.dpuf