MENU

DAERAH Baling yang bersempadan dengan Thailand di bahagian timur laut menjadikannya mudah dimasuki anggota komunis yang bersembunyi dalam hutan di sempadan. Malah, ketika Demonstrasi Baling 1974, dilaporkan komunis keluar ke pekan Baling bagi mendapat sokongan penduduk kampung.

Mungkin kerana bersempadan dengan Thailand, maka komunis banyak bersarang di hutan-hutan sekitar Baling. Ini terbukti apabila banyak kubu komunis ditemui di daerah itu. Malah, dikatakan terdapat kubu komunis di Baling bersambung dengan kubu komunis di Betong, Thailand.

Dalam pada itu, Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng bersama dua anggota lain dilaporkan keluar dari hutan berdekatan untuk menghadiri Rundingan Baling 1955.

Rundingan yang diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putera) itu berlangsung pada 28 hingga 29 Disember 1955.

Dalam rundingan itu, Parti Perikatan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall sementara PKM diwakili Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin.

Rundingan itu gagal kerana Chin Peng meletakkan syarat yang tidak diterima oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Syarat itu ialah mengiktiraf PKM dan kebebasan mereka tidak disekat. Turut ‘terlibat’ dalam proses menjayakan Rundingan Baling 1955 ialah Jaafar Ismail. Beliau kini berusia kira-kira 90 tahun dan menetap di Kampung Seberang Pekan, Baling.

Lebih dikenali sebagai Pak Long Jaafar, beliau merupakan individu yang dipertanggungjawabkan oleh pihak Inggeris untuk menjaga makan, minum serta menyiapkan tempat tidur Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin.

“Ketika itu, saya bertugas sebagai tukang kebun di Baling English School. Saya adalah tukang kebun sekolah yang pertama di Kedah dan mungkin juga di seluruh negara,” katanya kepada S2.

Ketika itu, katanya, beliau masih bujang dan berusia 20-an. Disebabkan selalu bertegur sapa dengan guru yang kesemuanya berbahasa Inggeris di sekolah itu, maka lama kelamaan Jaafar fasih bertutur dalam bahasa tersebut.

“Pada mulanya, saya tak tahu bahasa Inggeris. Namun, apabila semua cikgu di sekolah itu bercakap Inggeris dengan saya semasa menyuruh saya melakukan kerja itu dan ini, lama kelamaan, saya dapat menguasai bahasa tersebut. Mungkin sebab itu, saya dipilih untuk menyediakan makan, minum dan tempat tidur Chin Peng,” ujarnya.

Mengimbas kembali detik awal arahan itu diterima daripada seorang pegawai Inggeris, katanya, beliau masih ingat kata-kata pegawai tersebut kepadanya. Berikut perbualan yang masih diingatinya.

Pegawai Inggeris: “Hello boy...here. Tomorrow, I want you to standby 24 hour here.”

Jaafar: “What you want from me?”

Pegawai Inggeris: “I want this compound very clear.”

Seterusnya, pegawai Inggeris itu memberitahu beliau dikehendaki memakai gelang tangan khas sepanjang berada dalam kawasan sekolah berkenaan.

Ditanya, adakah beliau berbual dengan Chin Peng, katanya, walaupun berada dekat dengannya, beliau tidak menegur Chin Peng kerana ketika itu, hanya fokus terhadap tugas-tugas yang diserahkan kepadanya.

“Saya tidaklah berada 24 jam di sekolah itu. Ini kerana apabila tamat waktu bekerja, saya pulang ke rumah. Keesokan pagi, saya kembali ke sekolah untuk meneruskan tugas,” katanya sambil memberitahu pihak RTM pernah menemubualnya mengenai pengalamannya itu.

Mengenai apa tugasnya ketika itu, katanya, beliau telah diarahkan untuk menyediakan makan, minum dan menyiapkan bilik tidur kepada ketiga-tiga pemimpin komunis terbabit.

Menurutnya, penyediaan makanan tidak melibatkan bahan mentah, sebaliknya hanya makanan dalam tin. Tempat tidur pula adalah katil bujang yang diletakkan dalam bilik tidur di kuarters tersebut.

“Ketiga-tiganya bermalam di rumah guru yang terletak di sebelah bilik rundingan yang merupakan sebuah bilik darjah. Saya masuk ke dalam rumah guru itu. Saya susun makanan dalam tin di atas meja.

“Selepas rundingan selesai dan kesemuanya telah kembali ke hutan, saya masuk semula ke rumah itu. Saya tengok makanan dalam tin itu langsung tidak diusik, apatah lagi dibuka untuk dimakan.

“Macam mana saya susun makanan dalam tin di atas meja itu semalam, macam itulah keadaannya hari ini. Tak tahu dia makan apa,” katanya sambil menegaskan beliau bukan tukang masak kepada Chin Peng, sebaliknya hanya membawa masuk makanan dalam tin ke dalam kuarters guru tersebut.

Jaafar mula bekerja di sekolah itu pada 1 Februari 1952 dan bersara pada 1988. Ini bermakna beliau berkhidmat di sekolah itu selama 36 tahun. Gaji permulaan adalah RM64 sebulan dan kini beliau menikmati pencen sebanyak RM850 sebulan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/8216-saya-bukan-tukang-masak-chin-peng-8217-1.207433#sthash.Mf8ydzfR.dpuf